Pembangunan Bukit Dinding Bukit Dinding

2008 (15 Mei): Deraf Perancangan Bandar Kuala Lumpur 2020 (KLCP 2020)

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mempamerkan Draf Perancangan Bandar Kuala Lumpur / Draft Kuala Lumpur City Plan 2020 (KLCP 2020), mulai 15 Mei hingga 30 Ogos 2008. Dalam peta cadangan "Environmental Protection Zone" serta "Zoning", sebahagian besar Bukit Dinding telah pun dirancang untuk pembangunan kediaman (Residential).[22]

2012 (28 Disember): Tanah Runtuh Puncak Setiawangsa

Pada hari Jumaat, 28 Disember 2012, sekitar 10 malam, kejadian tanah runtuh telah berlaku di Puncak Setiawangsa, di sebelah barat daya Bukit Dinding. Di dalam kejadian itu, sebuah benteng konkrit di lereng bukit setinggi 43 meter (dibina tahun 1992) tidak berupaya menyekat gelongsoran tanah bukit tersebut, lalu sebahagiannya turut merekah dan runtuh. Sebuah rumah di puncak bukit kelihatan rosak teruk, dan sekitar 10 buah rumah terletak berdekatan dengannya. Turut terancam adalah rumah-rumah dan lot kedai yang terletak di kaki puncak tersebut, berhadapan kawasan runtuhan. Sebagai langkah berjaga-jaga, penghuni 46 buah rumah di situ terpaksa dipindahkan.[23]

2014 (September): Pembangunan di Bukit Dinding

Pembangunan pertama di sebelah timur Bukit Dinding dimulakan sekitar September 2014. Walaupun menerima bantahan daripada penduduk setempat, projek tersebut tetap diteruskan dan telah diluncurkan pada 12 Ogos 2017, dan siap sepenuhnya pada tahun 2020. Dikhabarkan, semenjak itu kejadian banjir dan pencerobohan hidupan liar telah meningkat. Antara penduduk yang terkesan ialah rumah pangsa Kelumpuk Serindit, Keramat AU, dan sekitarnya.[24] Pemaju yang membangunkan kawasan tersebut adalah Kerjaya Prospek Property Sdn Bhd.[25]

2017 (12 Mei): Rekahan di Puncak Setiawangsa

Berlaku rekahan di tebing Jalan 11/55C, Puncak Setiawangsa, Bukit Setiawangsa, iaitu lokasi sama berlakunya kejadian tanah runtuh hampir lima sebelumnya.[26]

2017 (Julai): EIA Projek Wangsa Maju

Jabatan Alam Sekitar telah meluluskan Penilaian Kesan Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment, EIA) bagi "Projek Wangsa Maju", yang dicadangkan oleh Nova Pesona Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang bakal membangunkan sebahagian kawasan Bukit Dinding yang ditandakan sebagai R-12 dalam Pelan Induk Bandar Baru Ladang Hawthornden 1983. Penilaian ini antara lain telah mengenalpasti kawasan Bukit Dinding sebagai kawasan sensitif. Walaupun kawasan hutan dan taburan hidupan liarnya berstatus "miskin", antara impak projek yang dinyatakan ialah hidupan liar bakal melarikan diri ke sebelah timur Bukit Dinding, dan memerlukan khidmat pihak Perhilitan bagi memindahkan mereka, contohnya ke Hutan Simpan Ampang di sebelah timur.[27]

2018 (30 Oktober): Pewartaan KLCP 2020

KLCP 2020 akhirnya diwartakan pada 30 Oktober 2018, namun banyak kandungannya telah dipinda dari versi asal yang turut melibatkan konflik kepentingan, serta tidak melalui proses pameran dan bantahan seperti sebelumnya. Sebagaimana yang telah dicadangkan di dalam Draf KLCP2020 pada tahun 2008, sebahagian besar kawasan Bukit Dinding diwartakan sebagai kediaman (Residential). Namun selebihnya dilabelkan sebagai "Taman Rekreasi Bukit Dinding" di dalam peta "Hierarchy Public Parks and Open Space" serta "Zoning", dan keluasannya berkurang dari 70 ekar (dalam Deraf KLCP 2020) kepada 50 ekar (Warta KLCP 2020).[28]

2020 (18 Februari): Draf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040)

Di dalam Draf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040, persempadanan Bukit Dinding masih tidak berubah, dan status tanah kosong yang tinggal, dinyatakan sebagai "Taman Kejiranan" ("Neighborhood Park"). Sehingga kini, ianya kekal sebagai "tanah kosong", dengan hanya pemancar Telekom Malaysia di puncaknya.[29]

2022 (28 Mac): Kelulusan Pembangunan 2 Blok Pangsapuri

Pada 28 Mac 2022, Pengarah Jabatan Kemajuan Bandar Zulkurnain Hassan telah meluluskan cadangan pembangunan 2 blok pangsapuri oleh syarikat Nova Pesona Sdn Bhd, sebagai kesinambungan kepada perancangan bandar sedia ada, dan disokong oleh laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (Environment Impact Assessment - EIA) pada tahun 2017 dahulu. Penduduk setempat yang tidak dimaklumkan mengenai hal-hal ini telah membuat bantahan berdasarkan EIA yang terlalu lama dan tidak menyeluruh, iaitu tidak membuat kajian cerun serta tidak mengambil kira risiko-risiko tanah runtuh dan lain-lain.[30]

2022 (15 September-kini): Bantahan Penduduk Sekitar

Pada 15 September 2022, suatu sesi perjumpaan telah diadakan di antara syarikat pemaju Nova Pesona Sdn Bhd dan penduduk setempat. Di dalam sesi tersebut, pihak penduduk telah menyuarakan bantahan mereka terhadap pembinaan 2 blok kondominium 26 tingkat di situ, atas dasar kekhuatiran terhadap kesan-kesannya seperti tanah runtuh, banjir, dan kesesakan lalulintas. Pihak penduduk berpendapat, pihak syarikat telah gagal meyakinkan mereka berkenaan isu-isu tersebut, lalu bertindak meneruskan bantahan mereka melalui saluran-saluran media serta ruang awam. Pada 26 September, Datuk Bandar Kuala Lumpur menyatakan 25% daripada kawasan itu harus dikekalkan sebagai kawasan hijau, dan kerja pembinaan tidak boleh dimulakan selagi siri perbincangan dengan penduduk setempat belum dijalankan. Pada Oktober 18, penduduk setempat telah membuat laporan polis terhadap pihak pemaju, atas dakwaan penggunaan laporan EIA yang telah tamat tempohnya (2017, iaitu lebih daripada 2 tahun). Pihak pemaju pula menyatakan kawasan tersebut telah pun diwartakan sebagai kawasan kediaman sejak 1983 lagi, dan perkara ini turut termaktub di dalam Kuala Lumpur City Plan 2020. Menurutnya lagi, sistem perparitan akan dibina mengikut panduan keselamatan JKR, lalu akan dapat membendung larian air yang merupakan kekhuatiran utama penduduk setempat.[31]

Dalam suatu perjumpaan anjuran "Friends of Bukit Dinding", 5 calon pilihanraya P118 Setiawangsa berjanji untuk turut sama menentang pembangunan di Bukit Dinding

Pada 16 November 2022, di dalam suatu perjumpaan anjuran "Friends of Bukit Dinding", 5 daripada 6 orang calon pilihanraya yang bertanding bagi kerusi parlimen P118 Setiawangsa turut hadir, termasuk penyandang ahli parlimen Nik Nazmi Nik Ahmad (Pakatan Harapan), Nurul Fadzilah Kamaluddin (Perikatan Nasional) dan Bibi Sunita Sakandar Khan (Pejuang). Mereka telah menandatangani akujanji untuk mempertahankan Bukit Dinding.[32]

Rujukan

WikiPedia: Bukit Dinding http://www.agsmtb.com/2018/02/26/bukit-dinding-rac... http://www.sabrizain.org/malaya/library/documents/... https://earth.google.com/web/search/bukit+dinding/... https://www.instagram.com/p/B7GulIuAX2T/ https://www.instagram.com/p/BuZ32UolMcc/ https://www.malaysiakini.com/news/636952 https://www.theedgemarkets.com/article/cover-story... https://theveritasdesigngroup.com/resources/ https://theveritasdesigngroup.com/wp-content/uploa... https://collections.library.yale.edu/catalog/15827...